30 maut, 39 hilang tanah runtuh di tenggara Brazil

Foto AFP

JUIZ DE FORA, 25 Februari – Angka korban akibat tanah runtuh di tenggara Brazil terus meningkat kepada 30 orang, manakala 39 lagi masih hilang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah korban meningkat kepada 30 orang, 39 masih hilang selepas tanah runtuh di Juiz de Fora dan Uba.
  • Lebih 200 orang diselamatkan; operasi SAR giat dijalankan bersama anjing pengesan.
  • Beberapa kawasan terputus hubungan, kira-kira 440 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
  • Kerajaan memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan, pemulihan perkhidmatan asas dan sokongan pembinaan semula.

Satu lagi mayat lelaki yang tertimbus ditemukan di dalam lumpur di celah runtuhan rumah pada Selasa.

Jabatan bomba negeri mengesahkan 30 maut di bandar Juiz de Fora dan Uba, manakala lebih 200 orang berjaya diselamatkan.

Anggota penyelamat bersama anjing pengesan giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 39 individu yang masih hilang di bawah runtuhan.

“Di sebuah kawasan perumahan lereng bukit di Juiz de Fora, sebanyak 12 rumah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh besar-besaran,” kata Mejar Demetrius Goulart daripada pasukan bomba kepada AFP.

“Ramai mangsa berada di dalam rumah ketika hujan turun pada waktu malam,” katanya.

Sungai melimpah dan arus deras mengalir ke jalan-jalan di negeri Minas Gerais selepas hujan lebat semalaman di wilayah yang mencatatkan taburan hujan tertinggi bulan ini.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun berjaya diselamatkan selepas dua jam operasi menyelamat, sekali gus menyuntik harapan dalam kalangan keluarga mangsa.

Bagaimanapun, Penyelaras Pertahanan Awam Negeri, Paulo Roberto Bermudes Rezende, berkata peluang untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin tipis apabila tempoh operasi semakin berlarutan.

Datuk Bandar Juiz de Fora, Margarida Salomao turut mengisytiharkan darurat.

“Bandar berpenduduk lebih setengah juta itu mencatatkan Februari paling banyak menerima taburan hujan dalam sejarah mencecah 584 milimeter. Sekurang-kurangnya 20 kejadian tanah runtuh dilaporkan, menyebabkan beberapa kawasan terputus hubungan,” katanya yang menyifatkan situasi itu sebagai ekstrem.

Pejabatnya memaklumkan kira-kira 440 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Pihak berkuasa negeri turut menggantung sesi persekolahan di semua sekolah di bandar berkenaan.

Sementara itu, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva menerusi platform X berkata keutamaan kerajaan kini adalah memastikan bantuan kemanusiaan, pemulihan perkhidmatan asas, bantuan kepada mangsa yang dipindahkan serta sokongan pembinaan semula.