
ROM, 6 November – Hampir 20 penerbangan komersial di seluruh Eropah menjadi sasaran ancaman bom palsu, semalam, mendorong pihak berkuasa Itali, Perancis dan Bulgaria mengerahkan jet pejuang sebagai langkah keselamatan.
- Insiden berlarutan tiga hari berturut-turut di beberapa negara.
- Sekurang-kurangnya lima penerbangan diiringi pesawat tentera, manakala tiga penerbangan dilencongkan.
- Semua pesawat dilaporkan mendarat dengan selamat dan tiada bahan letupan ditemukan.
- Mesej ancaman didakwa dari kumpulan "Male State", mengandungi kebencian terhadap wanita; kaitan rasmi belum disahkan.
Insiden yang berlarutan tiga hari berturut-turut itu menyebabkan sekurang-kurangnya lima penerbangan diiringi pesawat tentera udara, manakala tiga penerbangan terpaksa dilencongkan.
Bagaimanapun, semua pesawat dilaporkan mendarat dengan selamat dan tiada bahan letupan ditemukan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Bulgaria, tiga penerbangan Ryanair, masing-masing dari Madrid, Copenhagen dan London yang menuju ke Sofia diiringi jet pejuang sebelum menjalani pemeriksaan keselamatan.
Di Perancis, sebuah penerbangan Aer Lingus dari Dublin menuju ke Rom pula diarahkan mendarat di pangkalan tentera Evreux, kira-kira 100 kilometer ke barat Paris.
Pejabat Perdana Menteri Perancis mendakwa juruterbang pesawat berkenaan tidak memberi kerjasama seperti diharapkan, namun Aer Lingus menegaskan pihaknya mematuhi arahan pihak berkuasa sepenuhnya.
Sementara itu, mesej ancaman yang diterima beberapa lapangan terbang termasuk di Rom, Sofia dan Birmingham mendakwa dihantar oleh kumpulan dikenali sebagai Male State atau Men’s State.
Mesej berkenaan mengandungi unsur kebencian terhadap wanita, namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab dan kaitannya dengan mana-mana organisasi masih belum dapat disahkan.
Pesuruhjaya Pengangkutan Kesatuan Eropah (EU), Apostolos Tzitzikostas berkata, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada semua insiden berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Dalam pada itu, beberapa penerbangan lain yang menerima ancaman di Republik Czech dan Denmark turut mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden.
Siri ancaman berkenaan menyusuli kejadian serupa pada Selasa lalu apabila 10 penerbangan menjadi sasaran ugutan bom, yang semuanya disahkan palsu. – AFP