16 maut akibat tanah runtuh, banjir kilat di Jawa Barat

Anggota penyelamat Indonesia mengusung beg mayat yang mengandungi jasad mangsa di lokasi tanah runtuh di daerah Cisarua, wilayah Bandung Barat/ REUTERS

JAWA BARAT, 26 Januari – Sekurang-kurangnya 16 orang maut apabila tanah runtuh disertai banjir kilat melanda daerah Cisarua, wilayah Bandung Barat, Jawa Barat, Indonesia pada awal pagi Sabtu, menurut laporan media tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tanah runtuh dan banjir kilat di Cisarua, Bandung Barat menyebabkan 16 orang maut.
  • Lebih 80 penduduk masih hilang selepas rumah tertimbus tanah dan lumpur.
  • Operasi mencari dan menyelamat sukar kerana timbunan tanah tebal dan risiko hujan.
  • Kira-kira 250 anggota, dron, anjing pengesan dan alatan berat dikerahkan dalam operasi.

Ia memaklumkan seramai 80 penduduk masih hilang.

Kejadian itu berlaku sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan di mana penduduk terdengar bunyi yang kuat sebelum tanah dan lumpur dari Kampung Pasirkuning meluncur ke arah Kampung Pasir Kuda.

Puluhan rumah dilaporkan tertimbus tanah dan lumpur, mengakibatkan kerosakan teruk kepada kawasan perumahan berhampiran lokasi bencana.

Operasi mencari dan menyelamat menghadapi kesukaran dengan timbunan tanah runtuh yang tebal, serta risiko hujan yang boleh mencetuskan bencana susulan.

Agensi Pencarian dan Penyelamatan Nasional Indonesia menugaskan kira-kira 250 anggota terlatih bagi mencari mangsa hilang.

Operasi tersebut turut melibatkan beberapa agensi lain, penggunaan dron, anjing pengesan dan peralatan berat secara terhad akibat keadaan tanah yang tidak stabil.

Pihak berkuasa tempatan menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terjejas supaya berwaspada dan mengelak daripada zon berisiko tanah runtuh, memandangkan keadaan tanah yang tidak stabil berpotensi mencetuskan bencana sekunder. -REUTERS