10 maut, 18 cedera kapal tangki minyak terbakar di Batam

BATAM, 15 Oktober -Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala 18 lagi cedera selepas sebuah kapal tangki minyak terbakar di sebuah limbungan di Kepulauan Riau awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 10 orang maut dan 18 cedera selepas kapal tangki MT Federal II terbakar semasa dibaik pulih di sebuah limbungan Batam.
  • Kapal dilaporkan tanpa muatan minyak; punca kebakaran masih dalam siasatan polis yang memasang pita keselamatan.
  • Keluarga mangsa berkumpul di hospital dan rumah mayat; identiti pemilik kapal belum dikenal pasti.

Insiden berlaku kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan ketika kapal MT Federal II sedang dibaik pulih.

Ketua Polis Kepulauan Riau, Asep Safrudin berkata, mangsa yang cedera kini dirawat di beberapa hospital sekitar Batam.

“Daripada 28 mangsa, 10 meninggal dunia manakala 18 lagi sedang menerima rawatan intensif. Kita berharap mereka semua dapat diselamatkan,” katanya.

Menurut polis, ketika kejadian kapal berkenaan tidak membawa muatan minyak dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Keluarga serta rakan-rakan mangsa dilihat berkumpul di hospital dan rumah mayat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Polis turut memasang pita keselamatan di kawasan kapal dan mengesahkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

Setakat ini, identiti pemilik kapal masih belum dikenal pasti.

Jun lalu, satu kebakaran kapal turut berlaku di Batam, mengorbankan empat orang dan mencederakan sembilan yang lain. -REUTERS