“Raya Macam Mana?” bawa mesej perpaduan sempena Aidilfitri

Foto Youtube

KUALA LUMPUR, 12 Mac– Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle tampil dengan single terbaharu sempena Aidilfitri, Raya Macam Mana? hasil kolaborasi bersama rapper meningkat naik Francis Roman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lagu menyampaikan mesej perpaduan antara kaum, menunjukkan sambutan Hari Raya boleh difahami dan diraikan oleh semua latar budaya.
  • Penyampaian dalam bentuk dialog muzik dan lirik Mandarin melambangkan proses pembelajaran serta menghargai kepelbagaian budaya Malaysia.
  • Video muzik memaparkan suasana meriah Aidilfitri, persiapan raya, rumah terbuka, juadah tradisi dan tarian koreografi moden.

Menerusi satu kenyataan, CEOMAN Entertainment Sdn Bhd, lagu tersebut membawa konsep ceria dan moden, sekali gus memberi kelainan dalam deretan lagu raya tempatan yang lazimnya sarat dengan elemen nostalgia.

Diana berkata, lagu berkenaan bukan sekadar hiburan sempena musim perayaan, malah cuba menyampaikan mesej perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Lagu ini menggambarkan bagaimana sambutan Hari Raya boleh difahami dan diraikan oleh semua orang meskipun datang daripada latar belakang budaya yang berbeza,” katanya.

Menariknya, lagu “Raya Macam Mana?” disampaikan dalam bentuk dialog muzik yang unik apabila Francis mengajukan persoalan mengenai sambutan Hari Raya, manakala Diana menjawab sambil menjelaskan tradisi perayaan tersebut.

Diana turut menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin sebagai simbol proses pembelajarannya serta mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

“Saya ingin menunjukkan bahawa kita boleh saling belajar dan menghargai budaya antara satu sama lain. Itu yang menjadikan Malaysia unik,” katanya lagi.

Lagu tersebut turut diperkukuhkan dengan segmen rap bertenaga daripada Francis yang menambah elemen kontemporari kepada naskhah berkenaan.

Bagi melengkapkan pelancarannya, single itu turut hadir dengan video muzik rasmi yang memaparkan suasana meriah sambutan Aidilfitri, termasuk persiapan mengenakan baju raya, kesibukan perjalanan pulang ke kampung serta menikmati hidangan tradisi seperti nasi impit, rendang dan pelbagai kuih raya.

Video berkenaan juga menampilkan suasana pertemuan semula keluarga serta rumah terbuka yang meriah, diserikan dengan gerak tari santai yang dikoreograf bersama oleh Francis serta dekorasi raya berwarna-warni.