
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Bintang pop tersohor Indonesia, Raisa, bakal mengubat kerinduan peminat di Malaysia menerusi konsert jelajah terbaharunya, ‘Raisa Ambivert Tour’, yang dijadualkan berlangsung pada 13 Februari ini di Zepp Kuala Lumpur, bermula pukul 8.30 malam.
- Raisa akan mengadakan konsert 'Raisa Ambivert Tour' di Zepp Kuala Lumpur pada 13 Februari, jam 8.30 malam.
- Konsert membawa tema "Ambivert" menggambarkan dua sisi personaliti Raisa: intim dan penuh keriangan pop.
- Penganjur mahu pengalaman konsert lebih dekat dan menyentuh emosi penonton melalui konsep intim dan healing.
- MHT Live My memastikan kualiti produksi audio-visual pada tahap tertinggi untuk pengalaman istimewa.
- Barsena Bestandhi akan tampil sebagai artis jemputan khas memeriahkan persembahan.
Konsert anjuran Sembang Kari Entertainment bersama MHT Live My dan Juni Concert sebagai rakan penganjur itu mengetengahkan tema “Ambivert”; mencerminkan dua sisi personaliti Raisa gabungan emosi mendalam serta energi pop yang dinamik.
Pengarah Sembang Kari Entertainment, Mohd Fuad Simim, berkata konsep tersebut memberi peluang kepada peminat menikmati pengalaman lebih dekat dan menyentuh emosi.
“Ada ketika suasana menjadi sangat intim dan ‘healing’, dan ada masanya pula penuh keriangan pop yang dinamik. Kami mahu penonton pulang dengan kepuasan selepas melalui kembara perasaan yang disampaikan menerusi vokal hebat Raisa,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, wakil MHT Live My, Adi Acong, berkata pihaknya komited memastikan kualiti produksi berada pada tahap tertinggi bagi memberikan pengalaman audio-visual yang istimewa kepada peminat.
Raisa turut meluahkan keterujaannya untuk kembali bertemu peminat di Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan luar biasa.
“Melalui ‘Ambivert Tour’, saya ingin membawa penonton menyelami dua sisi berbeza dalam diri saya ada yang intim dan tenang, dan ada yang penuh keriangan.
“Saya telah menyediakan susunan muzik yang istimewa dan tidak sabar mencipta kenangan baharu bersama peminat di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan sama.
Konsert tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi berbakat besar, Barsena Bestandhi, sebagai artis jemputan khas.