
KUALA LUMPUR, 9 Januari – Kumpulan rock alternatif popular tanah air, Akim & The Majistret (ATM) kembali mencuri perhatian peminat muzik menerusi pelancaran single terbaharu berjudul ‘Juliet’.
- ATM lancar single terbaharu bertajuk "Juliet".
- "Juliet" ciptaan anggota kumpulan dengan lirik oleh Bunga Cantik.
- Akim: lagu itu tentang keberanian mencintai dengan jujur dan emosi manusia.
- "Juliet" tersedia di semua platform penstriman dan video rasmi di YouTube.
Lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota kumpulan Akim & The Majistret, manakala liriknya ditulis oleh Bunga Cantik.
Menurut vokalis utama, Akim Ahmad, ‘Juliet’ membawa maksud lebih mendalam daripada sekadar sebuah lagu cinta biasa.
“Bagi saya, ‘Juliet’ adalah mengenai keberanian untuk mencintai dengan jujur walaupun dunia di sekeliling kita sering memaksa kita berpura-pura. Lagu ini dekat dengan realiti mengenai hubungan, keikhlasan dan bagaimana kita mempertahankan perasaan walaupun berdepan dengan cabaran,” katanya.
Akim turut menjelaskan bahawa proses rakaman lagu tersebut memberi pengalaman berbeza kepada seluruh anggota kumpulan apabila ia lahir daripada perbincangan panjang mengenai emosi dan pengalaman sebagai manusia, bukan sekadar sebagai pemuzik.
“Kami mahu setiap lagu yang dikeluarkan ada jiwa. ‘Juliet’ lahir daripada perbincangan panjang dalam studio mengenai apa yang kami rasa sebagai manusia. Saya harap pendengar boleh merasakan emosi itu bila mereka mendengar lagu ini,” tambahnya.
Pelancaran ‘Juliet’ hadir selepas beberapa karya terdahulu Akim & The Majistret mencatat kejayaan besar di platform digital.
Dengan susunan muzik yang kemas, melodi yang kuat serta lirik puitis, ‘Juliet’ dilihat sebagai satu lagi bukti kematangan Akim & The Majistret dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, malah mampu menyentuh perasaan pendengar.
‘Juliet’ boleh didengari di semua platform penstriman muzik bermula hari ini (9 Januari). Video rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube.