
SAUDARA PENGARANG
- Ramadan sebagai madrasah kehidupan mendidik jiwa, bukan sekadar perubahan makan dan tidur.
- Puasa melatih menahan nafsu, membentuk kesabaran, keikhlasan dan disiplin dalaman.
- Amalan kecil dilipatgandakan; ibadah mesti membentuk akhlak dan ihsan dalam kehidupan seharian.
- Matlamat Ramadan ialah takwa yang kekal, tercermin dalam amanah, kejujuran dan hubungan dengan manusia serta Allah.
Ramadan hadir setiap tahun sebagai bulan yang sentiasa dinanti oleh umat Islam. Kehadirannya bukan sekadar menandakan perubahan waktu makan dan tidur, sebaliknya membawa satu fasa pendidikan jiwa yang mendalam. Dalam perjalanan menuju Ramadan, umat Islam sebenarnya sedang melangkah masuk ke sebuah madrasah kehidupan, tempat manusia belajar mengenal diri, mendekati Tuhan dan memahami makna sebenar penghambaan.
Dalam kesibukan dunia yang sering melalaikan, Ramadan hadir memperlahankan langkah manusia. Ia mengajak kita berhenti seketika, menoleh ke dalam diri dan merenung kembali tujuan hidup yang mungkin kian kabur. Ramadan tidak memaksa perubahan secara mendadak, tetapi mendidik dengan hikmah dan kelembutan agar manusia kembali sedar akan batas, arah dan keutamaan hidup.
Madrasah Tanpa Dinding, Guru Tanpa Suara
Madrasah lazimnya dikaitkan dengan ruang pembelajaran, jadual dan bimbingan ilmu. Namun, madrasah Ramadan tidak terikat kepada ruang fizikal atau kaedah pengajaran formal. Ia mendidik melalui pengalaman hidup, khususnya melalui rasa lapar, dahaga dan keperluan mengawal diri.
Dengan menahan diri daripada perkara yang halal pada waktu tertentu, manusia dilatih untuk lebih tegas menjauhi perkara yang haram sepanjang masa. Di sinilah pendidikan sebenar bermula, iaitu pendidikan yang membentuk kesedaran dalaman dan disiplin jiwa, bukan kerana paksaan, tetapi hasil kefahaman dan keinsafan.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.”
Ayat ini menegaskan bahawa puasa bukan sekadar ritual tahunan, tetapi satu proses pendidikan yang bertujuan membentuk insan bertakwa.
Amalan Kecil, Ganjaran Berlipat Ganda
Keistimewaan Ramadan terletak pada keluasan rahmat dan kemurahan ganjarannya. Amalan yang kelihatan kecil diberi nilai yang besar. Senyuman, sedekah, zikir dan bacaan al-Quran dilipatgandakan pahalanya sebagai galakan agar manusia memperbanyakkan kebaikan.
Namun, madrasah Ramadan juga mengingatkan bahawa ibadah tidak seharusnya terhenti pada rutin semata-mata. Ibadah yang sebenar ialah ibadah yang memberi kesan kepada pembentukan akhlak dan memperhalus perilaku dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT dalam Surah al-‘Ankabut ayat 45: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan mengingati Allah itu lebih besar keutamaannya.”
Ayat ini menjelaskan bahawa ibadah yang dilakukan dengan kefahaman akan melahirkan jiwa yang terdidik dan akhlak yang terpelihara.
Puasa dan Jihad Menundukkan Nafsu
Puasa merupakan jihad yang paling hampir dengan diri manusia, iaitu jihad menahan lapar, mengawal emosi dan menundukkan hawa nafsu. Ia mendidik kesabaran, keikhlasan dan keupayaan mengawal diri tanpa memerlukan pengawasan manusia. Hakikatnya, puasa adalah satu-satunya amalan yang tidak dapat dilaksanakan kerana riya’.
Inilah antara hikmah yang difahami dari hadis qudsi yang bermaksud: “Semua amalan anak-anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. Puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mendidik Hubungan dengan Tuhan dan Manusia
Madrasah kehidupan Ramadan bukan sahaja mendidik hubungan dengan Allah SWT (hablum minallah), malah turut memperhalus hubungan sesama manusia (hablum minannas). Apabila rasa lapar dirasai, hati menjadi lebih peka terhadap kesusahan orang lain. Apabila keinginan dikawal, sikap empati dan ihsan dapat dibentuk.
Dalam konteks keluarga, Ramadan menjadi medan latihan yang bermakna. Anak-anak mempelajari disiplin, kesederhanaan dan rasa syukur melalui teladan yang ditunjukkan oleh orang dewasa, bukan semata-mata melalui nasihat yang disampaikan.
Takwa sebagai Graduasi
Setiap madrasah mempunyai matlamat. Begitu juga Ramadan. Graduasi sebenar Ramadan tidak terletak pada berakhirnya rutin puasa atau kemeriahan Aidilfitri, tetapi pada lahirnya insan yang lebih bertakwa, iaitu insan yang lebih terjaga akhlaknya, lebih tunduk hatinya dan lebih berprinsip dalam langkah kehidupannya.
Takwa yang dibina sepanjang Ramadan bukan untuk disimpan sebagai pengalaman bermusim, tetapi perlu diterjemahkan dalam realiti kehidupan seharian. Ia seharusnya tercermin dalam cara kita bekerja dengan amanah, berinteraksi dengan penuh ihsan dan membuat keputusan dengan kesedaran bahawa setiap perbuatan diperhitungkan di sisi Allah SWT.
Jika selepas Ramadan kita menjadi lebih jujur dalam melaksanakan tanggungjawab, lebih sabar ketika diuji dan lebih berhati-hati dalam memikul amanah, maka madrasah ini telah melahirkan graduan yang berjaya.
Akhir kalam, ayuhlah kita bersama-sama menggapai mardatillah (keredaan Allah SWT), berusaha bersungguh-sungguh serta melatih diri untuk menjadi hamba yang sentiasa tawaduk dalam melaksanakan setiap pekerjaan dan amanah di muka bumi ini. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam kalangan insan yang bertakwa dan sentiasa berada dalam limpahan Redha serta rahmat Allah SWT. Wallahu a‘lam.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Norashikin Azmi
Pegawai Tadbir
Universiti Islam Selangor (UIS)

Dr. Abu Zaki Ismail
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Peradaban Islam
Universiti Islam Selangor (UIS)