Manfaatkan sektor pelancongan sepanjang Ramadan

Foto janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramadan harus dilihat sebagai peluang strategik untuk mempromosi pelancongan Islam dan memperkukuh jenama Malaysia sebagai destinasi halal global.
  • Pakej pengalaman budaya dan rohani seperti inap desa, berbuka di masjid bersejarah, serta lawatan bazar Ramadan meningkatkan penginapan dan ekonomi komuniti.
  • Gabungan promosi digital, kerjasama agensi dan latihan tuan rumah menjadikan Ramadan model pelancongan berasaskan nilai, mampan dan profesional.

Ramadan sering dilihat sebagai tempoh perlahan bagi sektor pelancongan. Namun, dalam konteks Malaysia yang memposisikan diri sebagai hab pelancongan halal global, tanggapan itu wajar dinilai semula.

Bulan yang penuh keberkatan ini sebenarnya menawarkan ruang strategik untuk memperkukuh jenama negara sebagai destinasi pelancongan Islam yang progresif, inklusif dan berdaya saing.

Pengalaman lalu menunjukkan bahawa dengan pendekatan yang sensitif terhadap nilai agama dan budaya tempatan, Ramadan mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti pelancongan yang lebih mampan.

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi sebagai satu peluang untuk menampilkan kekayaan gastronomi, warisan budaya serta kekuatan hospitaliti Malaysia kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Memanfaatkan Momentum Pelancongan Islam

Dalam landskap pelancongan global yang semakin kompetitif, kekuatan sesebuah negara tidak lagi diukur semata-mata melalui angka ketibaan pelancong. Sebaliknya, ia bergantung kepada keupayaan menterjemahkan tradisi dan identiti budaya kepada pengalaman bernilai tinggi.

Ramadan menyediakan ruang unik untuk tujuan tersebut. Suasana berbuka puasa secara berjemaah, penyediaan juadah tradisional oleh komuniti setempat serta pengisian tazkirah sebelum solat tarawih menawarkan pengalaman autentik yang sukar ditemui di destinasi lain.

Pengalaman berbuka dan menunaikan solat tarawih di masjid, misalnya, boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan berasaskan spiritual dan komuniti. Elemen kebersamaan, kesederhanaan dan keindahan seni bina masjid mampu menjadi tarikan kepada pelancong yang ingin memahami budaya Islam secara lebih mendalam.

Sekiranya distrukturkan dengan teliti, pengalaman ini boleh ditawarkan dalam bentuk pakej komprehensif merangkumi inap desa, berbuka puasa di masjid bersejarah, lawatan ke bazar Ramadan serta penyertaan dalam program qiamullail dan kuliah subuh.

Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja berpotensi memanjangkan tempoh penginapan, malah merancakkan ekonomi setempat melalui penglibatan peniaga kecil dan komuniti tempatan.

Gastronomi Sebagai Duta Budaya

Bazar Ramadan dan bufet hotel tidak wajar dilihat sekadar sebagai aktiviti komersial bermusim. Dalam kerangka yang lebih luas, gastronomi Ramadan perlu difahami sebagai aset strategik dalam penjenamaan pelancongan negara.

Juadah seperti bubur lambuk, ayam percik, martabak, roti ‘john’ serta pelbagai kuih tradisional bukan sekadar pilihan berbuka, tetapi komponen warisan kulinari yang mempunyai nilai komersial dan diplomasi budaya.

Ia mencerminkan sejarah makanan, kepelbagaian etnik serta kreativiti usahawan tempatan yang membentuk identiti Malaysia sebagai negara berbudaya dan berdaya cipta.

Aktiviti berbuka puasa di Malaysia sendiri menawarkan pengalaman yang unik kerana menggabungkan kerohanian dan kemeriahan budaya. Tradisi agihan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru, misalnya, melambangkan semangat kebajikan dan kebersamaan komuniti.

Pada masa yang sama, suasana santai berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Merdeka, Dataran Shah Alam atau Padang MPK Kuantan memperlihatkan bagaimana ruang awam menjadi titik pertemuan sosial yang inklusif.

Kepelbagaian ini turut diserikan dengan kunjungan ke bazar Ramadan yang ikonik serta majlis berbuka di masjid kariah yang menitikberatkan ukhuwah. Malah, budaya moreh dengan colek dan kopi panas di serambi masjid atau kedai mamak memanjangkan interaksi sosial hingga lewat malam, menjadikan Ramadan bukan sahaja waktu ibadah, tetapi juga ruang untuk memperkukuh jaringan komuniti.

Pendekatan ini bukan sekadar menjana pendapatan jangka pendek, sebaliknya membuka peluang strategik untuk memperkukuh jenama Malaysia sebagai destinasi yang kaya dengan tradisi, inovasi kulinari dan pengalaman budaya yang autentik, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Pengalaman Budaya Melalui Inap Desa

Ramadan membuka ruang yang signifikan kepada pelancongan berasaskan komuniti melalui program inap desa yang berstruktur dan bernilai tinggi. Model ini bukan baharu di peringkat antarabangsa.

Di Indonesia, program desa wisata membolehkan pelancong menyertai aktiviti Ramadan bersama komuniti setempat, termasuk berbuka puasa dan pengisian keagamaan di kampung tradisi. Di Maghribi, pengalaman Ramadan digabungkan dalam pakej budaya yang menampilkan suasana berbuka di riad tradisional serta penyertaan dalam majlis ilmu.

Sementara itu, di Turkiye, suasana iftar awam di dataran bersejarah seperti di Istanbul dipromosikan sebagai pengalaman budaya yang memperkenalkan tradisi Islam dalam konteks moden dan kosmopolitan.

Pengalaman seumpama ini menunjukkan bahawa Ramadan boleh diterjemahkan sebagai produk pelancongan berasaskan nilai serta budaya yang autentik dan berdaya saing. Dalam konteks Malaysia, program inap desa menawarkan peluang yang lebih mendalam kepada pelancong antarabangsa untuk menyelami kehidupan masyarakat tempatan secara langsung.

Berbuka puasa bersama keluarga angkat, menikmati sahur dalam suasana kampung yang damai serta menunaikan solat tarawih di masjid kariah memberikan dimensi rohani dan budaya yang unik.

Interaksi bersama pelancong seperti penyediaan juadah tradisional, gotong-royong menyediakan moreh dan perkongsian cerita pengalaman Ramadan memperkukuh kefahaman silang budaya dalam suasana yang mesra.

Dengan garis panduan yang jelas, latihan kepada tuan rumah serta penyelarasan yang tersusun, program inap desa berpotensi menjadi model pelancongan komuniti yang mampan. Pendekatan ini bukan sahaja memperluas peluang ekonomi luar bandar, malah memperkukuh jaringan sosial dan mempromosikan nilai kebersamaan yang menjadi teras Ramadan.

Model Pelancongan Komersial Berasaskan Nilai

Justeru, Ramadan tidak lagi boleh dilihat sebagai tempoh berehat dan menunggu tibanya Syawal. Ia wajar difahami sebagai ruang transformasi yang mampu menggerakkan sektor pelancongan secara lebih strategik.

Dalam kerangka pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, setiap peluang termasuk aktiviti sepanjang Ramadan perlu dimanfaatkan secara bersepadu. Promosi digital yang tersusun, kerjasama dengan pempengaruh, pembangunan pakej pengalaman rohani serta penawaran produk komuniti bernilai tinggi boleh memperkukuh kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

Kerjasama antara kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri amat penting bagi memastikan standard perkhidmatan yang konsisten serta pengalaman pelancong yang selari dengan sensitiviti agama dan budaya tempatan.

Jika dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara profesional, Ramadan berpotensi menjadi model pelancongan berasaskan nilai, mengimbangi aspek komersial dan spiritual yang menggabungkan identiti Islam yang sederhana dengan kecekapan industri moden.

Pendekatan seimbang ini bukan sahaja memperkukuh sektor pelancongan, malah memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi antarabangsa yang berkualiti, menarik dan diyakini.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Akmal Adanan
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan
UiTM Cawangan Melaka
e-mel : akmaladanan@uitm.edu.my