KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Bank Dunia meningkatkan semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus, berbanding 3.9 peratus yang diumumkan pada Jun lepas.
Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi memberitahu, unjuran sama dijangka kekal tahun depan, berikutan momentum kelembapan pertumbuhan ekonomi global dan serantau.
"Malaysia sebagai ekonomi yang sangat terbuka amat terdedah kepada perubahan ini. Kesannya pantas dirasai melalui saluran kewangan, pelaburan, perdagangan, dan pelancongan.
Unjuran ekonomi global dan serantau juga tidak begitu memberangsangkan," katanya dalam sesi taklimat Malaysia Economic Monitor, di sini.
Ekonomi Malaysia juga sensitif terhadap perubahan dalam ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China.
Menurutnya, setiap satu peratus pertumbuhan AS akan mengurangkan pertumbuhan Malaysia sebanyak 0.8 mata peratus.
Manakala, setiap penurunan satu peratus dalam pertumbuhan China bakal menjejaskan Malaysia sebanyak 0.45 mata peratus.
Faktor dalaman seperti prestasi eksport dan permintaan domestik juga dijangka menyederhanakan pertumbuhan tahun depan.
"Pertumbuhan permintaan domestik dijangka berkurang daripada 5.2% pada 2025 kepada 4.7% pada 2026. Komponen terbesar dalam permintaan domestik ialah perbelanjaan penggunaan swasta, yang dijangka kekal mendatar antara kedua-dua tahun." katanya lagi.
Keadaan itu, menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka sederhana menjelang 2026.