fb fb fb fb fb

TMM 2026 peluang tarik pelancong berkualiti

Tahun Melawat Malaysia 2026 dilihat sebagai peluang besar bagi penggiat industri pelancongan menarik pelancong berkualiti / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Tahun Melawat Malaysia 2026 dilihat sebagai peluang besar bagi penggiat industri pelancongan menarik pelancong berkualiti yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan tetapi juga memantapkan ekonomi setempat.

Pengerusi Konsortium Inbound Tourism Alliance, Uzaidi Udanis berkata Malaysia yang menjadi pengerusi persidangan ASEAN tahun ini dijangka dapat melonjakkan ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini.

“Ini bermakna hampir setiap hari ada acara antarabangsa yang akan dihadiri delegasi dari luar negara. Ramai daripada mereka mungkin membawa keluarga bersama.

"Jadi, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Apa yang ingin kita tonjolkan kepada mereka? Apa keunikan Malaysia yang mahu kita abadikan dalam ingatan mereka?” katanya.

Tambah Uzaidi, kerajaan MADANI telah menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu pemain industri bersiap sedia menerima kehadiran pelancong.

Kini, menjadi tanggungjawab pihak industri melaksanakan program-program yang mampu meningkatkan ketibaan pelancong serta perbelanjaan mereka, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan anggaran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN