KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Sistem Permit import (AP) perlu dikenakan kepada semua kenderaan bermotor import termasuk kenderaan elektrik (EV) untuk memantau dan menyokong perkembangan industri automotif tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdaganan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini selaras dengan halatuju Dasar Automotif Nasional 2020 dalam menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau.
Justeru, beliau berkata pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat dasar pelaksan aan AP ke atas kenderaan import sepenuhnya (CBU) masih relevan dan perlu dikekalkan
"Pemansuhan AP boleh mendorong kepada pengimportan atau lambakan kenderaan CBU yang tidak mematuhi piawaian teknikal dan membahayakan pengguna kenderaan di jalan raya.
"Dan mekanisme AP adalah bertujuan untuk membangunkan industri automotif secara inklusif yang merangkumi agenda meningkatkan penglibatan usahawan bumiputera dalam rantaian bekalan industri automotif," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berhubung langkah kerajaan untuk tidka memansuhkan sistem AP, mengecualikan cukai termasuk duit eksais dan import terhadap semua jenis EV.
Ini termasuklah kenderaan komersial dan motosikal.
Katanya, setakat September 2023, bilangan EV yang berdaftar mencecah 12, 000 unit termasuk kenderaan komersial dan motosikal.
Tambahnya lagi, pada Belanjawan 2023, kerajaan mengumumkan pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais disediakan terpakai untuk semua jenis EV.