KUALA LUMPUR, 4 Disember - Pengerusi baharu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan fokus utamanya adalah memastikan agenda transformasi agensi itu berjalan lancar serta terus diperkukuhkan bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Malaysia.
Menurutnya, pelantikan sebagai Pengerusi MIDA memberi beliau peluang untuk meneruskan kesinambungan peranannya sebelum ini, memandangkan beliau sudah lama mengenali operasi dan mandat agensi tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas kepercayaan ini. MIDA bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Ketika menjadi Menteri MITI, MIDA adalah agensi di bawah kementerian tersebut, dan sebelum itu semasa saya CEO CIMB, saya juga pernah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah MIDA selama enam tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis apresiasi Media anjuran MITI, di ibu negara.
Tengku Datuk Seri Zafrul juga berkata, pengalaman luas itu membolehkannya memahami keperluan semasa MIDA, terutama ketika agensi tersebut sedang menjalani proses transformasi bagi meningkatkan daya saing negara dalam landskap pelaburan global.
“Fokus saya adalah memastikan transformasi MIDA diteruskan dan diperkukuhkan. Dengan kerjasama rapat Ketua Setiausaha MITI yang turut menjadi ahli lembaga pengarah MIDA, kita mahu menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa untuk memacu pertumbuhan negara,” katanya.
Beliau menegaskan MIDA akan terus berperanan sebagai pemudah cara utama dalam membawa masuk pelaburan bernilai tinggi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekonomi negara.