fb fb fb fb fb

TEKUN Nasional komited perkasa PMKS

Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memacu pertumbuhan ekonomi rakyat.

Hasrat itu selari dengan pelantikan Steven Sim sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang baharu.

Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid menyatakan kepimpinan Steven Sim diyakini mampu memperkukuh agenda pemerkasaan PMKS menerusi strategi baharu serta penambahbaikan dasar pembiayaan ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

Menurutnya TEKUN Nasional menyokong penuh dasar pemerkasaan PMKS merentas semua kaum dan wilayah, sejajar dengan prinsip keterangkuman dan keadilan sosial dalam pembangunan ekonomi negara.

Pihaknya akan terus membantu usahawan mikro melalui penyediaan pembiayaan dan program pembangunan keusahawanan.

Sejak ditubuhkan pada 1998 hingga November 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan sebanyak 866,476 pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM11.15 bilion merangkumi pelbagai sektor perniagaan dseluruh negara.

Dalam usaha meringankan beban usahawan yang terjejas akibat banjir, TEKUN Nasional turut menawarkan moratorium pembiayaan sehingga enam bulan tanpa faedah kepada usahawan terlibat di seluruh negara.

Selain itu, peruntukan Dana Pembiayaan Bumiputera di bawah TEKUN Nasional akan ditingkatkan daripada RM300 juta pada 2025 kepada RM500 juta pada 2026.

Pembiayaan bagi usahawan India melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) juga diperhebat dengan peningkatan peruntukan daripada RM30 juta kepada RM50 juta bagi tempoh yang sama.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN