fb fb fb fb fb

Teknologi Hybrid AI ubah landskap ekonomi digital ASEAN

Foto MaiStorage Technology

KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Potensi besar teknologi kecerdasan buatan hibrid (Hybrid AI) dijangka menjadi pemacu baharu transformasi ekonomi digital di rantau Asia Tenggara.

Gabungan kepakaran teknologi, infrastruktur sedia ada dan tenaga kerja muda yang luas memberikan peluang kepada ASEAN untuk muncul sebagai hab pembangunan penyelesaian AI yang berdaya saing di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif MaiStorage Technology, Datuk Pua Khein Seng berkata, negara-negara ASEAN perlu memanfaatkan kekuatan populasi seramai 600 juta penduduk untuk membangunkan dan melaksanakan Hybrid AI secara meluas.

“Kita mempunyai teknologi dan segala infrastruktur yang sudah dibawa ke Malaysia. Apa yang kita mahu lakukan sekarang adalah melatih seramai mungkin bakat muda untuk menyertai bidang penyelesaian Hybrid AI.

"Kita juga mahu mereka membangunkan syarikat pemula (startup) sendiri, mencipta penyelesaian mereka dalam ASEAN, menjadikan platform ini sebagai pasaran utama, membina bakat, syarikat dan rantaian bekalan mereka.

"Harapnya, selepas satu hingga tiga tahun, ia boleh berkembang menjadi kelompok besar,” jelasnya semasa program Biz Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan ASEAN tidak ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi terkini, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemain industri luar.

Jelasnya lagi, pembangunan kelompok syarikat dan bakat dalam Hybrid AI akan membolehkan ASEAN mengeksport penyelesaian teknologi ke pasaran global, selain mewujudkan ekosistem digital yang lebih mampan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI