fb fb fb fb fb

Takaful Malaysia perkenal kad perubatan digital mampu milik ' KAOTIM'

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal (kiri) pada Majlis Pelancaran Platform Digital baharu, KAOTIM di ibu negara/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 November- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) melancarkan KAOTIM ,platform digital baharu yang menawarkan pelan perlindungan perubatan mampu milik bagi rakyat Malaysia, bersempena dengan ulang tahun ke-39 pengendali takaful itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nor Azman Zainal berkata KAOTIM merupakan inisiatif digital Takaful Malaysia yang menawarkan MediKad, pelan perlindungan perubatan dengan tiga pelan mampu milik bermula RM38 sebulan dan had tahunan sehingga RM1.1 juta dengan pilihan rider, MediBooster.

Tambahnya, pengenalan KAOTIM turut memperkukuh komitmen Takaful Malaysia dalam memberikan pengalaman yang lebih mesra pelanggan dan selamat kepada generasi muda.

“Kini, perlindungan perubatan sangat mahal, kami cuba mengurangkan beban rakyat melalui gabungan keperluan pelanggan dan digital.

“Dengan pendaftaran dalam talian empat langkah dan soal selidik perubatan ringkas tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, keperluan perlindungan pelanggan akan dilindungi serta-merta,” katanya selepas pelancaran KAOTIM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berharap inisiatif digital dapat menjadikan Takaful Malaysia sebagai peneraju digital dalam industri insurans dan takaful, sekali gus, memenuhi aspirasi jangka panjang, pendigitalan industri perkhidmatan kewangan.

“Ini adalah permulaan bagi Kaotim yang memiliki keunikan, perkhidmatan yang pantas dan harga yang berpatutan. Pada masa hadapan, akan ada lebih banyak produk yang dilancarkan di bawah jenama ini,” katanya.

MediKad menawarkan tiga pelan berbeza kepada rakyat Malaysia berumur antara enam dan 69 tahun dengan tempoh perlindungan sehingga 85 tahun.

ZEHRA BINTI ZAMBRI