fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia rendah sedikit pada tengah hari

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 29 November- Bursa Malaysia susut sedikit setakat dagangan tengah hari Rabu berikutan aktiviti jualan berterusan yang merentasi papan akibat kekurangan pemangkin baharu bagi merangsang pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan sebanyak 0.05 peratus atau 0.82 mata kepada 1,447.20 daripada paras 1,448.02 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu urus niaga bermula pagi ini, indeks penanda aras itu menokok 0.61 mata pada 1,448.63 selain bergerak antara 1,446.75 dan 1,450.42 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 498 berbanding 322 manakala 406 kaunter tidak berubah, 1,153 tidak diniagakan dan 85 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.79 bilion unit bernilai RM1.07 bilion.

Sementara itu, Maybank Investment Bank menerusi nota tinjauannya berkata sektor penjagaan kesihatan dan perladangan dijangka meraih minat, sekali gus dapat memacu peningkatan kedua-dua indeks sektor terbabit dalam masa terdekat.

“Kami juga menjangkakan Indeks FBM KLCI akan terus diniagakan dalam jajaran 1,440 hingga 1,460 hari ini dengan paras sokongan pada 1,446 dan 1,435 mata," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 1.0 sen kepada RM9.04, Public Bank dan Tenaga meraih 3.0 sen masing-masing kepada RM4.25 dan RM9.92, CIMB Group turun 4.0 sen kepada RM5.64, Petronas Chemicals menguncup 2.0 sen kepada RM7.06 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.84.

Bagi saham paling aktif, Fitters Diversified tidak berubah pada 5.0 sen, Top Glove rugi 3.0 sen kepada 87 sen, Leform meraih setengah sen kepada 32 sen dan Widad susut setengah sen kepada 46.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 9.03 mata pada 10,713.54, Indeks FBMT 100 susut 7.16 mata kepada 10,379.39 manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 16.34 mata kepada 10,876.59.

Indeks FBM 70 menguncup 15.56 mata kepada 14,246.61 manakala Indeks FBM ACE naik 0.46 mata kepada 5,084.67.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.74 mata kepada 16,283.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.14 mata kepada 171.56, Indeks Tenaga menokok 1.95 mata kepada 823.86 namun Indeks Perladangan susut 2.16 mata kepada 7,004.41.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE