fb fb fb fb fb

Tahap kualiti audit meningkat, kes penguatkuasaan susut lapan peratus - AOB

Tahap kualiti audit meningkat, kes penguatkuasaan susut lapan peratus / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Tahap kualiti audit firma di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara berdasarkan Laporan Pemeriksaan Tahunan 2024 yang dikeluarkan Lembaga Pemantauan Audit (AOB), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Menurut laporan itu, bilangan kes penguatkuasaan susut kepada lapan peratus pada 2024, berbanding 16 peratus pada 2023.

“Perkembangan ini mencerminkan usaha positif firma audit dan juruaudit individu untuk meningkatkan kualiti audit masing-masing,” jelas AOB dalam kenyataan hari ini.

AOB turut menekankan kepentingan penggunaan Petunjuk Kualiti Audit (AQI) sebagai alat menilai prestasi firma audit.

Dalam masa sama, laporan berkenaan mengenal pasti cabaran utama yang dihadapi firma audit, termasuk kekangan sumber manusia. Justeru, beberapa langkah telah diambil bagi menstabilkan tenaga kerja dan meningkatkan kapasiti operasi.

Pemeriksaan AOB pada tahun lalu melibatkan 40 rakan kongsi dan 40 tugasan audit merentasi 13 firma, yang secara kolektif mengaudit 76 peratus syarikat tersenarai awam (PLC).

Firma-firma tersebut turut mengaudit 1,319 Dana Jadual, merangkumi 99 peratus daripada jumlah nilai aset bersih dana jadual di seluruh negara.

Sehubungan itu, AOB menggesa firma audit memperkukuh lagi sistem pengurusan kualiti, khususnya aspek pemantauan dan pelaksanaan kawalan dalaman.

AOB menegaskan pihaknya kekal komited dalam usaha berterusan mengukuhkan kapasiti dan keupayaan audit, selain mempertingkatkan kualiti audit serta tadbir urus firma berdaftar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN