KUALA LUMPUR, 26 Julai -Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) memperlihatkan kemajuan memberangsangkan melalui nilai pelaburan yang diperoleh dan momentum pertumbuhan firma tempatan, sejak dilancarkan pada Mei 2024.
Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Ir. Dr. Muhammad Nadzir Marsono berkata, lebih RM63 bilion nilai pelaburan yang direkodkan dalam tempoh kurang setahun, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan ekosistem industri semikonduktor di Malaysia.
''Daripada segi pertumbuhan syarikat tempatan, terdapat 13 syarikat yang sangat berpotensi menjadi peneraju industri semikonduktor negara. Ini merupakan satu indikator positif terhadap pembangunan dan keupayaan dalam keusahawanan berteknologi tinggi,'' katanya kepada pemberita RTM.
Tambahnya, langkah sokongan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 Khamis lalu, akan menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan juara semikonduktor tempatan di peringkat global.
''Modal pemangkin misalnya, akan bertindak sebagai instrumen yang sangat penting bagi menyokong syarikat tempatan yang berada dalam tahap pertumbuhan yang kritikal. Bukan sekadar bantuan bersifat kewangan, tapi juga berfungsi untuk membuka ruang kepada inovasi, mempercepat kitaran produk serta menjana keupayaan teknikal dan komersial,'' jelasnya.
Mengulas lanjut, kerjasama kerajaan-kepada-kerajaan membolehkan pemindahan teknologi secara lebih tersusun dan selamat serta membuka peluang untuk membina rantaian bekalan serantau yang lebih berdaya tahan.
''Langkah-langkah ini menunjukkan satu evolusi daripada dasar pembangunan industri yang bersifat reaktif kepada pendekatan proaktif, yang terancang dan berasaskan ekosistem serantau.
''Justeru, untuk mengekalkan momentum positif NSS, aspek pelaksanaan, pemantauan dan keberkesanan dasar perlu diberi lebih perhatian, sambil meneruskan kerjasama strategik di peringkat kerajaan, industri dan akademik secara konsisten,'' katanya.