KUALA LUMPUR, 30 September - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) melancarkan aplikasi mudah alih baharu, Enterprise Lifecycle Scoring Assessment (ELSA), bagi menyokong transformasi digital usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Dalam kenyataannya, SME Bank memaklumkan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu menyediakan kemas kini semasa, akses pembiayaan fleksibel serta laluan menyeluruh daripada proses penilaian hingga peluang pasaran.
Selain memperkukuh ekosistem PKS, pelancaran ini turut menyokong agenda Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memacu transformasi digital melalui AI, keselamatan siber, pembayaran digital dan inovasi inklusif.
Ketua Pegawai Digital dan Teknologi SME Bank, Hairil Izwar Abd Rahman berkata, inisiatif itu menandakan langkah berani dalam perjalanan inovasi digital bank tersebut.
“Peluncuran ini menggabungkan kecerdasan dan ketercapaian dalam satu platform, membolehkan PKS bergerak daripada mengenal pasti cabaran kepada tindakan yang mendorong pertumbuhan,” katanya.
SME Bank menyasarkan 10,000 PKS menyertai platform tersebut dalam tempoh dua tahun, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama keusahawanan dan ketahanan ekonomi negara.
Direka dengan pendekatan mudah alih, ELSA memberi pandangan berasaskan AI selain akses lancar kepada pembiayaan, latihan dan sokongan nasihat, membolehkan usahawan menilai, bertindak dan mengembangkan perniagaan mereka.