KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Lebih 200 mesyuarat perniagaan secara bersemuka telah diadakan pada Sesi Padanan Perniagaan B2B Malaysia-China ke-7 yang berlangsung sempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 di Nanning, Guangxi, China.
Sesi padanan yang diadakan pada 16 September lalu berjaya meraih 95 potensi kerjasama, sekali gus menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap perkongsian strategik rentas sempadan.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata sesi yang dianjurkan dengan kerjasama China Construction Bank (CCB) dan Sekretariat CAEXPO itu memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama.
''Ini termasuk produk pertanian khas berkualiti tinggi seperti sarang burung, makanan dan minuman, barangan pengguna, produk kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, bahan binaan, penyelesaian logistik dan pengedaran, serta kecerdasan buatan (AI),'' jelas MATRADE dalam satu kenyataan hari ini.
Acara tersebut menarik penyertaan 50 pengeksport Malaysia dan kira-kira 150 syarikat China dalam kalangan pelanggan CCB dari wilayah Jiangsu, Jilin, Liaoning dan Guangxi.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata kerjasama antara MATRADE dan CCB berperanan penting dalam membantu pengeksport Malaysia menembusi bandar peringkat kedua yang pesat membangun seperti Nanning serta bandar peringkat ketiga lain dengan sokongan kemudahan pembiayaan oleh CCB.
“Inisiatif ini mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan semakin berkembang antara kedua-dua negara, serta mengukuhkan peranan strategik MATRADE dalam mewujudkan platform yang menghubungkan pengeksport Malaysia dengan pembeli antarabangsa,” katanya.
Sesi padanan perniagaan itu disusuli dengan perbincangan lanjut di Pavilion Malaysia yang membawa kepada pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Niat (LoI), sekali gus merealisasikan potensi perniagaan yang dibincangkan.
Kejayaan acara itu memberi petanda positif kepada kerjasama masa depan, khususnya dalam sektor berimpak tinggi yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan kedua-dua negara.