KUALA LUMPUR, 27 Jun- Semakan semula peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini, dijangka hanya memberi kesan jangka pendek terhadap corak perbelanjaan pengguna dan kadar inflasi.
Perkara itu dinyatakan Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengurusan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr. Norashida Othman.
Bagaimanapun beliau menyifatkan semakan itu sebagai langkah strategik penting bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara.
"Dengan peluasan asas cukai kerajaan dapat meningkatkan hasil tanpa perlu menaikkan cukai secara umum.
"Jadi ini penting untuk menyokong pembangunan infastruktur pendidikan dan juga perkhidmatan awam melalui hasil yang lebih mampan," katanya.
Beliau dalam masa sama menjangkakan bakal berlaku perubahan pola perbelanjaan pengguna dalam tempoh terdekat.
Namun katanya, perubahan itu dijangka bersifat sementara.
"Perubahan dalam corak perbelanjaan pengguna terutama dalam kategori perkhidmatan mewah dan barangan bukan keperluan seperti jam tangan yang berjenama ... rawatan spa dan perkhidmatan swasta lain terutamanya bukan untuk warganegara.
"Pengguna mungkin lebih beralih kepada pilihan yang lebih murah atau menangguhkan perbelanjaan bukan krirtikal ataupun mungkin beralih kepada produk tempatan yang tidak dikenakan cukai," katanya.
Beliau bercakap ketika dihubungi Berita RTM.