fb fb fb fb fb

Pengecualian cukai buah import ringankan beban rakyat, galak pemakanan sihat

Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Keputusan kerajaan mengecualikan cukai ke atas buah import seperti oren dan epal dianggap langkah tepat, selari dengan keperluan nutrisi dan budaya pemakanan rakyat.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad, langkah ini dilihat memberi manfaat besar kepada rakyat, memandangkan buah-buahan tersebut telah menjadi sebahagian daripada diet harian mereka.

“Buah oren dan epal bukan sekadar makanan tambahan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia. Ia turut digunakan sebagai buah tangan ketika menziarahi orang sakit, atau dijadikan hadiah dalam pelbagai majlis. Maka, pengecualian cukai ini pasti memberi kelegaan kepada pengguna,” jelasnya ketika dihubungi RTM.

Kedua-dua buah ini bukan sahaja kaya dengan vitamin penting untuk kesihatan, tetapi juga sering digunakan dalam pelbagai hidangan seperti jus, pencuci mulut dan majlis jamuan.

Selain manfaat kesihatan dan ekonomi, langkah ini juga diharapkan dapat mengekalkan kestabilan harga buah-buahan import di pasaran, sekali gus menjadikannya lebih mampu milik dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa sokongan terhadap buah-buahan tempatan tidak harus diketepikan.

Katanya, walaupun buah import diberi pengecualian cukai tetapi usaha menggalakkan rakyat makan buah tempatan juga penting supaya industri pertanian negara terus berkembang dan kekal bersaing.

“Pengecualian cukai ini adalah berita baik, tetapi rakyat juga harus bijak menyokong hasil tempatan. Dengan cara itu, kita bukan sahaja menikmati buah-buahan berkualiti pada harga berpatutan, malah membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya lagi.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan beberapa pengecualian cukai bersasar sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, termasuk langkah mengekalkan kadar cukai sifar ke atas barangan keperluan asas.

Langkah ini juga dilihat sejajar dengan agenda Malaysia MADANI yang menitikberatkan kebajikan rakyat serta keseimbangan antara keperluan pasaran dan pembangunan tempatan.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE