KUALA LUMPUR, 28 Jun - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta semalam disifatkan sebagai langkah strategik bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, terutamanya dalam aspek perdagangan dan pelaburan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang turut serta dalam delegasi Malaysia berkata, kehadiran mereka telah disambut dengan mesra oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam suasana yang penuh keakraban dan semangat serantau.
“Ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya membuka ruang penting untuk memperkukuh kerjasama sedia ada antara dua negara serumpun,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta / Foto Facebook Tengku Zafrul
Lawatan tersebut turut menjadi sebahagian daripada persiapan menjelang Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 akan datang.
Antara perkara utama yang dibincangkan meliputi isu-isu serantau serta peluang untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi.
Indonesia kini merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN, sekali gus menunjukkan potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi bersama.
Tengku Datuk Seri Zafrul turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan dua hala ini demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta kestabilan rantau ASEAN secara keseluruhannya.