fb fb fb fb fb

Semakan semula peluasan SST ambil kira maklum balas rakyat & industri

Foto Facebook Kementerian Kewangan

PUTRAJAYA, 27 Jun - Kerajaan MADANI mengumumkan tiga pindaan utama terhadap pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, susulan maklum balas daripada rakyat dan pihak industri terhadap peluasan skop SST yang diumumkan pada 9 Jun lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sesi libat urus bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan turut diadakan semalam bagi mendapatkan pandangan akar umbi berhubung isu tersebut.

Sehubungan itu, sebanyak tiga pindaan utama SST diumumkan iaitu Pengecualian Cukai Jualan ke atas buah-buahan import terpilih, ambang jualan tahunan lebih tinggi untuk meringankan beban cukai ke atas perniagaan kecil, dan Cukai Perkhidmatan tidak akan diperluas kepada perkhidmatan kecantikan.

"Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengecualikan beberapa jenis buah import daripada dikenakan Cukai Jualan dan buah-buahan tersebut termasuk epal, oren, limau mandarin dan kurma," menurut kenyataan itu.

MOF menjelaskan bahawa langkah itu sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk tidak mengenakan cukai terhadap barangan keperluan harian demi meringankan kos sara hidup rakyat.

Antara barangan lain yang dikecualikan termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran, telur serta ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada sejuk beku, sejuk dingin atau segar.

"Bagi meringankan beban cukai terhadap perniagaan kecil, nilai ambang jualan tahunan bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan serta perkhidmatan kewangan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta," tambah MOF.

Ini bermakna hanya perniagaan dengan jualan melebihi RM1 juta setahun akan dikenakan Cukai Perkhidmatan sebanyak 8% bagi perkhidmatan tersebut, sekali gus memberi manfaat pengecualian kepada lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Kerajaan juga memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan peluasan Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku (manicure dan pedicure), rawatan wajah (facial), gunting rambut dan dandanan rambut, selepas mengambil kira sentimen awam.

MOF turut menyeru semua pihak agar merujuk sumber maklumat rasmi seperti laman web Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mendapatkan pemahaman yang tepat mengenai pelaksanaan SST.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI