fb fb fb fb fb

Sektor penerbangan melonjak 9.1 peratus dalam operasi udara- MAHB

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Februari- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berada pada trajektori pemulihan pada 2023 dengan 72 syarikat penerbangan beroperasi secara aktif dalam rangkaiannya.

MAHB menerusi satu kenyataan berkata, lapangan terbang kendaliannya kini menghubungkan ke 147 destinasi, meningkat 9.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia merangkumi 113 penerbangan antarabangsa dan 34 penerbangan domestik.

Selain faktor laluan baharu, pengembangan turut didorong pengenalan enam syarikat penerbangan baharu menggunakan lapangan terbangnya.

Pada 2023, MAHB juga mencatat jumlah pergerakan penumpang melepasi jumlah 100 juta, kali pertama sejak 2020, lonjakan 84.6 peratus berbanding tempoh sebelum pandemik pada 2019.

Pada Disember 2023, peningkatan trafik penumpang 7.7 juta penumpang direkodkan dengan 4 juta penumpang antarabangsa dan 3.7 juta penumpang domestik .

Sektor antarabangsa menyaksikan peningkatan 18 peratus daripada 3.4 juta penumpang pada November 2023.

Manakala sektor domestik menyaksikan peningkatan 16 peratus daripada 3.2 juta penumpang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE