fb fb fb fb fb

Scanfil labur RM15.8 juta perluas fasiliti elektronik di Johor Bahru

Scanfil, syarikat pembuatan elektronik tersenarai terbesar di Eropah, melabur sebanyak RM15.8 juta untuk memperluas dan memodenkan fasiliti SRX Global (Malaysia) Sdn Bhd di Johor Bahru / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 3 September - Scanfil, syarikat pembuatan elektronik tersenarai terbesar di Eropah, melabur sebanyak RM15.8 juta untuk memperluas dan memodenkan fasiliti SRX Global (Malaysia) Sdn Bhd di Johor Bahru.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi kenyataan memaklumkan, proses naik taraf itu berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran hampir 50 peratus, sekali gus mengukuhkan peranan Johor Bahru sebagai hab elektronik strategik di Asia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, pelaburan Scanfil di Johor Bahru merupakan langkah penting dalam memajukan sektor pembuatan berimpak tinggi di Malaysia.

''Pelaburan ini akan menarik teknologi termaju, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan inovasi dan kelestarian merentasi rantaian bekalan elektronik.

“Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), yang bertujuan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam elektronik dan semikonduktor di samping membina daya tahan jangka panjang dalam rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan sama, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Scanfil, Christophe Sut berkata pengembangan dan pemodenan kemudahan syarikat tersebut merupakan bukti jelas persekitaran perniagaan yang positif di Malaysia.

''Didorong kestabilan dan dasar mesra perniagaan, SRX Global sebagai anak syarikat Scanfil komited untuk membangunkan operasi di Johor Bahru dengan perspektif jangka panjang.

''Kami melihat banyak peluang besar, khususnya didorong oleh sektor industri, teknologi perubatan dan sains hayat,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN