SHAH ALAM, 18 Mei – Rundingan tarif timbal balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan daya saing ekonomi negara serta menarik pelaburan asing, khususnya dalam sektor teknologi dan digital.
Pensyarah Kanan Ekonomi Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) ,Profesor Madya Dr Wahida Ahmad, berkata kejayaan rundingan itu mampu meningkatkan keyakinan pelabur global terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan stabil dan mesra perniagaan.
"Ini merupakan satu faktor penting dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi terutamanya dalam sektor teknologi, tenaga boleh diperbaharuhi dan digital ekonomi. Eksoprt utama Malaysia seperti semi konduktor, minyak sawit dan produk getah akan lebih kompetitif.
Beliau turut menekankan rundingan itu memberi kesan langsung kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Jelasnya, dalam masa sama, piawaian eksport yang ditetapkan AS seperti pensijilan amalan mampan, boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti produk tempatan, terutama dengan sokongan kerajaan menerusi subsidi, insentif dan kemudahan logistik.
Bagaimanapun, Dr Wahida mengingatkan agar kerajaan bertindak secara strategik supaya sebarang konsesi yang ditawarkan tidak menjejaskan industri domestik, peluang pekerjaan dan kestabilan harga barang.
"Kerajaan perlu seimbangkan antara kepentingan ekonomi jangka panjang dan keperluan rakyat. Pertama, ada libat urus menyeluruh dengan industri dan persatuan seperti FMM, dan MIDA supaya setiap keputusan berdasarkan realiti. Proses dan hasil rundingan mesti telus untuk pastikan keutusan tidak memihak kepada pihak tertentu sahaja", katanya.
Beliau turut menyeru agar diplomasi ekonomi dipertingkat dan Malaysia terus mempelbagaikan pasaran luar negara bagi mengurangkan kebergantungan terhadap AS.
"Ini bukan sekadar isu perdagangan , malah ia adalah simbol komitmen Malaysia untuk membina ekonomi yang terbuka, berdaya saing dan adil kepada semua. Rakyat mengharapkan keputusan yang sama dan Kerajaan yang tegas dalam melindungi kepentingan negara", jelasnya ketika ditemui RTM di sini.