fb fb fb fb fb

Lawatan ke Rusia buka peluang perdagangan baharu, tingkat daya saing negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin/Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia baru-baru ini membuka potensi kerjasama dua hala yang lebih mampan antara kedua-dua negara, khususnya dalam pelaburan, pembangunan teknologi dan perdagangan merentas pelbagai sektor.

Pengarah Program Master Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Rusia memiliki kelebihan teknologi dalam bidang aeroangkasa, manakala Malaysia kini memberi tumpuan kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI), yang berpotensi untuk manfaat bersama.

“Selain itu, kita lihat ada pelbagai sektor yang berpotensi meningkatkan perdagangan dua negara seperti industri kimia, perabot, pendidikan dan tenaga boleh diperbaharui. Jadi saya melihat banyak ruang yang boleh diterokai untuk manfaat ekonomi,” katanya.

Beliau turut menyifatkan lawatan itu sebagai satu usaha penting untuk Malaysia mempelbagaikan rakan dagang, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap negara-negara Barat dan China.

“Apabila kita menjalinkan kerjasama dengan mana-mana negara yang mempunyai potensi, saya melihat impak daripada lawatan seperti ke Rusia ini akan memberi kesan jangka panjang yang secara keseluruhannya positif,” tambahnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai situasi geopolitik semasa dan sekatan yang dikenakan terhadap Rusia oleh negara-negara Barat, Dr. Ahmed Razman menegaskan bahawa ia tidak semestinya menjadi penghalang kepada hubungan perdagangan.

“Malaysia menjalin hubungan dengan mana-mana negara secara neutral, dan fokus kita adalah pada aspek dagangan dan manfaat ekonomi bersama,” jelasnya ketika dihubungi RTM.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD