KUALA LUMPUR, 10 November -Peruntukan RM2.75 bilion kepada Kementerian Ekonomi dalam Belanjawan 2026 memainkan peranan penting dalam mengurus serta mengagihkan sumber bagi pembangunan sosioekonomi negara.
Pendekatan yang digunakan berteraskan perancangan pembangunan secara insaniah, di samping memastikan pengagihan sumber komprehensif dan berkesan.
Kementerian Ekonomi turut bertanggungjawab melaksanakan program dan projek pembangunan yang bersifat strategik serta merentas agensi, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan inklusif di seluruh negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memacu agenda pembangunan negara, khususnya bersempena dengan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Dalam hubungan ini, peruntukan bawah Anggaran Pembangunan Tahun 2026 berjumlah RM83 bilion, dengan tumpuan diberikan kepada peningkatan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan (DE) Asas, iaitu RM57.6 bilion berbanding RM55.7 bilion pada tahun 2025.
"Selaras dengan peningkatan ini, bilangan kelulusan projek baharu DE Asas turut meningkat daripada 1,967 projek pada tahun 2025 kepada 2,371 projek pada tahun 2026, sebagai usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Berdasarkan Buku Bajet 2026, peruntukan pembangunan bagi Kementerian Ekonomi adalah sebanyak RM2.115 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak RM890.56 juta atau 72.7% berbanding peruntukan dipinda bagi tahun 2025," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Ekonomi, di Dewan Rakyat.
Tambahnya, ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan jangkaan pertumbuhan sekitar 5.2 peratus bagi suku ketiga berdasarkan unjuran awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pencapaian tersebut telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan untuk tempoh sembilan bulan ini dengan jangkaan sebanyak 4.7 peratus.