KUALA LUMPUR, 10 November -Lebih 70 peratus masyarakat di negara ini masih memerlukan pendedahan dan kefahaman mendalam mengenai literasi kewangan.
Menurut Ahli Majlis Kebangsaan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) Anuar Shuib, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang gemar berhutang dan perkara itu perlu diperbaiki menerusi pengurusan kewangan yang lebih baik.
"Berhutang sebenarnya tidak salah, tetapi yang penting ialah bagaimana kita menguruskan hutang tersebut. Contohnya, jika seseorang berhutang pada kadar faedah 3% dan membuat pelaburan yang memberi pulangan 6 peratus, itu adalah hutang yang baik," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran " Duit Yourself" anjuran Open Academy , di ibu negara.
Beliau menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengawal selia perkhidmatan BNPL yang sebelum ini tidak tertakluk kepada sebarang peraturan.
Jelasnya, kawalan terhadap skim "Buy Now Pay Later" (BNPL) amat penting kerana tanpa pemantauan , pengguna berisiko terperangkap dalam beban hutang akibat tarikan promosi dan kemudahan pembayaran yang menarik.
Beliau menegaskan peningkatan literasi kewangan amat penting bagi membantu masyarakat memahami cara menguruskan sumber kewangan dengan bijak.