fb fb fb fb fb

Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$114.3 bilion

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$114.3 bilion pada 29 Februari lalu berbanding AS$115.4 bilion pada 15 Februari.

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan satu kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Menerusi satu kenyataan, sehingga 29 Disember, BNM berkata, daripada lima komponen utama rizab, rizab mata wang asing berjumlah AS$100.9 bilion, diikuti oleh kedudukan rizab IMF (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.8 bilion), emas (AS$2.6 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.8 bilion).

Jumlah aset adalah sebanyak RM630.97 bilion merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR (RM520.75 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.01 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.23 bilion), tanah serta bangunan (RM4.13 bilion) dan aset lain (RM67.64 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100.0 juta), rizab (RM186.74 bilion), mata wang dalam edaran (RM161.82 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM176.53 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM3.53 bilion), lain-lain deposit (RM40.02 bilion), kertas Bank Negara (RM29.24 bilion), peruntukan SDR (RM29.74 bilion) dan liabiliti lain (RM3.27 bilion).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE