fb fb fb fb fb

Ringgit teruskan peningkatan, dibuka tinggi berbanding dolar

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 April- Ringgit meneruskan kenaikan semalam apabila dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan unit negara maju menyusut daripada paras tertinggi beberapa bulan selepas penurunan semula hasil Perbendaharaan AS, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7850/7885 berbanding dolar AS daripada 4.7910/7950 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks dolar AS (DXY) berkurangan 0.3 peratus kepada 105.940 mata meskipun wujudnya ketidaktentuan mengenai prospek penurunan kadar faedah.

Pada Selasa, Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell berkata inflasi yang berterusan bermakna kos pinjaman akan kekal meningkat untuk tempoh lebih lama daripada yang dijangkakan sebelum ini.

Bagaimanapun, Afzanizam berkata di Eropah, trend disinflasi adalah berterusan dengan inflasi keseluruhan dan indeks harga pengguna teras (IHP) menurun pada Mac masing-masing kepada 2.4 peratus dan 2.9 peratus berbanding 2.6 peratus dan 3.1 peratus pada bulan sebelumnya.

“Ini memberi sokongan bahawa Bank Pusat Eropah (ECB) mungkin mengurangkan kadar dasar lebih awal. Sehubungan itu, ringgit mungkin kekal dalam julat kecil hari ini kerana dolar AS kekal menonjol berbanding mata wang utama lain, terutama terhadap prospek kadar faedah yang memihak kepada dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding pound Britain.

Ia menyusut berbanding euro kepada 5.1056/1093 daripada 5.0981/1024 semasa ditutup pada Rabu, turun berbanding yen Jepun kepada 3.1013/1038 daripada 3.0990/1018, namun kukuh berbanding pound Britain kepada 5.9588/9631 daripada 5.9720/9770 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang Asean kecuali berbanding dolar Singapura.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0108/0250 berbanding 13.0194/13.0373 semasa ditutup pada Rabu dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 294.9/295.3 daripada 295.3/295.7 semalam.

Ringgit turut meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.39 daripada 8.37/8.39 pada Rabu tetapi merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5184/5212 daripada 3.5171/5200 sebelumnya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE