fb fb fb fb fb

Ringgit teruskan peningkatan berbanding Dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 25 September- Ringgit mengekalkan momentum meningkat berbanding dolar AS semasa memulakan urus niaga hari ini, melepasi paras RM4.14 untuk kali pertama sejak November 2021, kata pakar ekonomi.

Keadaan Ini disumbangkan oleh data ekonomi tempatan yang lebih baik berbanding jangkaan dan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1490/1600 berbanding dolar AS daripada 4.1550/1605 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS susut melebihi jangkaan kepada 98.7 mata, memperlihatkan pengguna, yang membentuk dua pertiga daripada ekonomi AS, berhati-hati dengan prospek masa depan.

“Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) menyusut 0.49 peratus kepada 100.360 mata.

"Oleh itu, ringgit sewajarnya kekal positif berikutan penurunan kadar faedah selanjutnya di AS," katanya kepada Bernama.

Ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding euro kepada 4.6427/6550 daripada 4.6274/6335 semasa ditutup pada Selasa, berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.5704/5852 daripada 5.5590/5663, dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9002/9083 daripada 2.8796/8836.

Ia juga didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 273.1/274.0 daripada 273.5/274.0 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.40 daripada 7.39/7.40 semasa ditutup pada Selasa.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2348/2437 daripada 3.2244/2289 dan berkurangan kepada 12.7184/7607 daripada 12.6426/6640 berbanding baht Thailand.

ROSLINA BINTI DIN