fb fb fb fb fb

Ringgit terus naik susulan inisiatif kerajaan, perjanjian perdagangan AS-Jepun tingkat sentimen

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Ringgit terus mencatatkan kenaikan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Rabu, peningkatan yang disokong oleh langkah sokongan fiskal terbaharu yang diumumkan kerajaan apabila dana asing kembali ke pasaran ekuiti tempatan, kata penganalisis.

Mata wang tempatan juga disokong oleh keyakinan berikutan perjanjian perdagangan AS- Jepun yang meningkatkan pasaran ekuiti Asia dan tukaran asing secara menyeluruh.

Pada pukul 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2255/2300 berbanding dolar AS berbanding 4.2300/2370 ketika ditutup pada Selasa.

Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pusingan baharu langkah sokongan fiskal yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup, merangsang penggunaan domestik dan meningkatkan perbelanjaan isi rumah menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bantuan wang tunai RM100 secara sekali beri untuk rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas, yang disalurkan menerusi MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua 2025.

“Dari satu segi, ia seperti rangsangan fiskal mini ketika ketidaktentuan luaran semakin ketara. Tindakan proaktif seperti itu memberi petanda baik untuk ringgit dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit yang disokong oleh pergerakan serantau selepas Presiden AS Donald Trump memeterai perjanjian perdagangan ‘besar-besaran’ dengan Jepun pada Selasa, termasuk mengurangkan tarif AS ke atas kedua-duanya kepada 15 peratus daripada 25 peratus.

Innes berkata perjanjian itu telah mengukuhkan keyakinan pasaran dan meningkatkan saham serta mata wang Asia termasuk ringgit.

“Terdapat spekulasi yang semakin meningkat bahawa jika Jepun boleh memperoleh syarat yang lebih mudah, Malaysia mungkin mendapat konsesi yang sama sebelum tarikh akhir pada 1 Ogos,” katanya.

Bagaimanapun, ringgit lebih lemah berbanding kumpulan mata wang utama lain ketika ditutup.

Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8837/8870 daripada 2.8690/8739 ketika ditutup pada Selasa, lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.7230/7291 daripada 5.7088/7183 semalam, dan berkurang berbanding euro kepada 4.9586/9639 daripada 4.9512/9594.

Mata wang tempatan juga lebih rendah berbanding beberapa mata wang serantau.

Ia tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 259.1/259.5 berbanding 259.1/259.7 ketika ditutup semalam.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3071/3109 daripada 3.3011/3071 pada Selasa, menurun berbanding baht Thailand kepada 13.1370/1567 daripada 13.0899/1172 sebelumnya, dan menyusut berbanding peso Filipina kepada 7.42/7.44 daripada 7.41/7.43. -BERNAMA

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN