KUALA LUMPUR, 23 Julai - Pengumuman pakej rangsangan fiskal terbaharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengukuhkan sektor pengguna Malaysia dengan menggalakkan perbelanjaan jangka pendek.
Ia khususnya melibatkan barangan keperluan dan runcit, menurut CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya.
Firma itu turut menjangkakan, peruncit utama dan pengeluar makanan serta minuman akan meraih manfaat daripada permintaan yang lebih kukuh terhadap produk makanan dan minuman asas.
Ia didorong pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor ini dan percaya penilaian semasa adalah wajar, mencerminkan sentimen pengguna yang masih lembap, kadar cukai jualan yang lebih tinggi ke atas barangan bukan keperluan, dan tekanan kos daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas kos sewaan,” menurut nota penyelidikan itu.
Selain itu, perjalanan domestik juga diramal lebih rancak selepas ini, disokong penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September dan penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya utama.