fb fb fb fb fb

Ringgit terus kukuh, disokong asas ekonomi dan sentimen global positif

Ringgit kekal stabil secara keseluruhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan penambahan nilai 0.05 peratus pada suku ketiga 2025/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November – Ringgit kekal stabil secara keseluruhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan penambahan nilai 0.05 peratus pada suku ketiga 2025, selain merekodkan pengukuhan 8.2 peratus sejak awal tahun sehingga 12 November 2025.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata prestasi positif mata wang itu didorong gabungan faktor luaran dan domestik yang terus menyokong kekukuhan ringgit sepanjang tahun.

Beliau menjelaskan langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) melonggarkan dasar monetari pada September, serta jangkaan penurunan kadar seterusnya susulan kebimbangan terhadap prospek ekonomi negara itu, telah memberi sokongan ketara kepada ringgit pada suku tersebut.

Di dalam negara pula, asas ekonomi yang kukuh terus menjadi pemacu utama.

1411 BZ GABENOR RINGGIT 2Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour/BERNAMA

“Prospek pertumbuhan ekonomi kita baik dengan mencatatkan 5.2 peratus pada suku ketiga, manakala bagi tempoh tiga suku pertama merekodkan 4.7 peratus, yang turut menggambarkan prospek positif ke hadapan.

"Asas ekonomi kita kekal kukuh dan pelbagai, di samping dasar kerajaan yang berterusan dari segi reformasi struktur serta pelaksanaannya, yang meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya pada sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2025, di sini hari ini.

Selain itu, pengumuman mengenai perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dan beberapa rakan dagang, termasuk Malaysia, turut meredakan ketidakpastian tarif serta memperbaiki sentimen pasaran.

Menurut BNM, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit turut mencatat penambahan nilai 0.8 peratus pada suku ketiga 2025, serta pengukuhan 5.3 peratus sejak awal tahun sehingga 12 November 2025 berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN