KUALA LUMPUR, 14 November - Pendirian dasar monetari yang masih bersesuaian, menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan, ia mengambil kira kedudukan semasa ekonomi serta prospek pertumbuhan negara iaitu Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa.
“Pada kadar 2.75 peratus, tahap ini adalah sesuai dengan kedudukan ekonomi, memandangkan pertumbuhan kekal stabil dan inflasi sederhana.
"Berdasarkan situasi ketika ini, termasuk pertumbuhan dan unjuran inflasi, Malaysia masih mempunyai ruang untuk membuat pelarasan dasar fiskal dan monetari jika ia perlu dilaksanakan” katanya pada sidang media bersama bagi mengumumkan prestasi KDNK Malaysia suku ketiga 2025, di ibu negara.
Permintaan domestik juga dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan negara, disokong perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan dan keadaan pasaran tenaga kerja yang stabil.
BNM juga akan terus memantau perkembangan semasa, menilai keseimbangan risiko kepada prospek pertumbuhan dan inflasi serta memastikan langkah-langkah dasar kekal menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.