fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan kukuh pada suku ketiga 2025

Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR, 14 November - Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga tahun 2025.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut disokong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah, seiring pasaran buruh yang stabil serta peningkatan pendapatan yang menyokong corak perbelanjaan pengguna.

"Pertumbuhan ini disumbangkan oleh perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan yang stabil serta sokongan berterusan kepada pertumbuhan. Ia turut dipacu oleh sektor E&E, aktiviti pelancongan yang kukuh dan pemulihan yang kuat dalam eksport berkaitan perlombongan.

"Berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, KDNK mencatat momentum pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 2.4 peratus, berbanding 2.2 peratus pada suku kedua 2025," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga Tahun 2025 di ibu negara.

Aktiviti pelaburan kekal disokong oleh pengembangan modal sektor swasta dan awam, manakala eksport bersih meningkat apabila eksport berkembang lebih pantas daripada import.

Dari segi penawaran, pertumbuhan terus dipacu oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan manakala Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.3 peratus manakala inflasi teras meningkat kepada peratus.

Tekanan inflasi teras lebih tinggi diimbangi penurunan harga ditadbir seperti elektrik dan diesel susulan penstrukturan tarif serta kos global yang lebih sederhana.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana untuk baki tahun 2025, disokong permintaan dalam negeri yang stabil dan keadaan kos global yang terus reda.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI