fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini susulan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi dan kewangan China serta harga minyak yang lebih lemah, kata seorang penganalisis.

Pada 6.00 petang, mata wang tempatan itu berada pada 4.6055/6100 berbanding dolar US daripada 4.5745/5785 ketika ditutup pada Jumaat.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin, 5 Jun 2023, bersempena dengan cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun dolar US melemah selepas paras Institut Pengurusan Bekalan (ISM) Amerika Syarikat lebih rendah daripada jangkaan, ringgit tidak dapat memanfaatkannya kerana hubungan mata wang itu dengan sentimen risiko China.

"Lebih-lebih lagi yuan China bergelut disebabkan kekurangan sokongan dasar dan harga minyak yang lebih rendah turut memberi kesan," katanya kepada Bernama.

Menurut laporan berita, harga minyak turun sebelum mencatatkan kenaikan sebelumnya adalah disebabkan pengumuman oleh pengeksport utama dunia, Arab Saudi, bahawa ia akan mengurangkan lagi pengeluaran minyak.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent turun 1.63% kepada US$75.46 setong.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.3050/3085 daripada 3.2957/2989 ketika ditutup pada Jumaat tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.9237/9286 daripada 4.9254/9297 sebelumnya dan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.7131/7187 daripada 5.7323/7373.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit naik berbanding baht Thai kepada13.2357/2547 daripada 13.2402/2591 pada penutupan pada Jumaat tetapi menguncup berbanding peso Filipina pada 8.19/8.20 berbanding 8.18/8.19 sebelumnya.

Unit tempatan juga merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4140/4179 daripada 3.4026/4059 minggu lepas dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 309.8/310.3 daripada 305.0/305.5. -BERNAMA



(Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US)

Media Baharu