fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup rendah

(Foto Fail)

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini apabila kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran dan paras stok yang lebih tinggi terus memberi kesan kepada harga.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) hari ini melaporkan pengeluaran minyak sawit negara dianggarkan melonjak 26.33 peratus kepada 1.51 juta tan metrik pada Mei 2023 berbanding April 2023.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani memberitahu Bernama niaga hadapan MSM dibuka tinggi hari ini tetapi jatuh mendadak berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap stok minyak sawit yang melonjak susulan pengeluaran kukuh pada akhir Mei.

Selain itu, beliau berkata, momentum lemah di pasaran minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago turut menjejaskan sentimen terhadap komoditi tempatan.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2023 dan Julai 2023 berkurangan RM60 masing-masing kepada RM3,356 satu tan metrik dan RM3,346 satu tan metrik, manakala Ogos 2023 merosot RM65 kepada RM3,316 satu tan metrik.

Kontrak September 2023 turun RM63 kepada RM3,315 satu tan metrik, Oktober 2023 merosot RM67 kepada RM3,317 satu tan metrik dan November 2023 susut RM62 kepada RM3,326 satu tan metrik.

Jumlah dagangan melonjak kepada 62,643 lot daripada 46,430 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 256,483 kontrak daripada 244,934 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan merosot RM20 kepada RM3,430 satu tan metrik.-BERNAMA

(Foto Fail)

Media Baharu