(Tengku Zafrul pada pelancaran Ekspedisi Perpaduan
Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023 hari ini)
KUALA LUMPUR, 6 Jun- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) perlu terus mempromosi eksport tempatan dan mencari peluang pelaburan baharu.
Ia terutama bagi mendepani cabaran ekonomi global khususnya pada separuh kedua tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu dilihat wajar bagi memastikan negara terus berdaya saing dalam sektor perdagangan.
"Kita kena lihat apa yang berlaku secara global, dari segi pelaburan kita dapat lihat peningkatan, tapi dari segi perdagangan, disebabkan ekonomi global yang semakin mencabar, jadi 'the trade numbers for the global trade' pun akan berkurangan.
"Fokus sekarang adalah untuk memastikan kita, terutamanya Matrade terus mempromosikan eksport kita, cari peluang baharu untuk kita mengeksport barang-barang tempatan kita, dan pada masa sama fokus 'on investment' untuk jangka masa panjang," katanya.
(Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023, di sini hari ini.
Tambahnya, fokus ketika ini adalah untuk menarik pelaburan jangka masa panjang khususnya dengan peningkatan jumlah pelabur ke Malaysia.