fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Ringgit ditutup rendah hari ini berbanding dolar AS, sejajar dengan mata wang serantau yang diheret turun berikutan langkah China untuk mengurangkan kadar pinjaman utama (LPR), kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan ditutup pada 4.4855/4870 berbanding mata wang Amerika Syarikat daripada penutup 4.4760/4795 pada Jumaat.

Penganalisis itu berkata yuan dilaporkan mencecah paras terendah sejak September 2020 berikutan langkah untuk mengurangkan tekanan terhadap pasaran perumahan China dan ekonominya yang perlahan.

The People's Bank of China mengurangkan LPR, penanda aras bagi kadar gadai janji sebanyak 15 mata asas kepada 4.30 peratus daripada 4.45 peratus.

Beliau berkata ringgit juga berada dalam aliran menurun berikutan penurunan harga minyak.



Penanda aras harga minyak mentah Brent kini berada pada AS$96.15 setong, turun 0.59 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2147/2163 daripada 3.2225/2254 ketika ditutup pada Jumaat, melonjak berbanding pound British kepada 5.2947/2965 daripada 5.3126/3167 sebelumnya, naik sedikit berbanding euro kepada 4.4886/4901 daripada 4.5069/5104.

Bagaimanapun, ringgit susut sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.2786/2800 daripada 3.2767/2795 sebelumhya.- BERNAMA

Media Baharu