KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Pasaran getah Malaysia melantun semula daripada penurunan minggu lepas untuk ditutup tinggi hari ini apabila permintaan terhadap komoditi itu bertambah baik di tengah-tengah kelemahan nilai ringgit berbanding dolar AS.
Seorang peniaga berkata aliran meningkat itu selari dengan pasaran serantau apabila langkah terbaharu China yang melonggarkan sekatan untuk memulihkan ekonominya telah membantu meningkatkan sentimen pasaran.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan selanjutnya dikekang oleh penyusutan harga penanda aras minyak mentah.
Menurut laporan terkini tinjauan industri getah dunia yang dijalankan oleh International Rubber Study Group (IRSG), permintaan getah asli global meningkat kukuh sebanyak 10.9 peratus pada 2021, mencecah 14.07 juta tan metrik, berikutan pemulihan yang dijangkakan dalam penggantian kenderaan komersial di pasaran maju dan sedang pesat membangun.
(FOTO fail BERNAMA)
IRSG mengunjurkan jumlah permintaan getah meningkat sebanyak 1.8 peratus dan bekalan getah asli (NR) naik sebanyak 4.3 peratus tahun ini.
Sementara itu, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menokok 3.5 sen kepada 655.5 sen sekilogram manakala lateks pukal menambah 1.5 sen kepada 506.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 655.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 507.0 sen sekilogram. - BERNAMA