SEPANG, 22 Mac - AirAsia menjangkakan pertambahan bagi penerbangan antarabangsanya sejajar pembukaan semula sempadan mulai 1 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata syarikat mensasarkan peningkatan sehingga 70 penerbangan bagi minggu pertama, sebelum angka itu mencecah kepada 250 penerbangan seminggu menjelang akhir bulan hadapan.
"Menjelang akhir April, jumlah tersebut akan meningkat kepada 250 penerbangan antarabangsa seminggu. Angka tersebut bersamaan 25-26 peratus daripada jumlah penerbangan ketika tempoh sebelum COVID-19.
"Kami harap ia meletakkan kami di trajektori yang baik. Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, kami juga memantau perkembangan di negara lain, jika mereka membuka sempadan lebih awal dari jangkaan kami, jumlah penerbangan tentunya akan lebih meningkat," katanya dalam taklimat bersama media di RedQ, di sini.
Tambahnya, permintaan terhadap perjalanan antarabangsa menunjukkan petanda positif berdasarkan tempahan yang diterima sejak pengumuman pembukaan sempadan.
Katanya, Kapasiti penerbangan antarabangsa pula meningkat sebanyak 50 peratus sejak pengumuman pembukaan sempadan dibuat.