fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.6455/6500 berbanding dolar US daripada 4.6425/6455 dicatatkan pada Khamis / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 12 Januari - Ringgit melanjutkan kerugian semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan data indeks harga pengguna (IHP) AS yang positif mendorong beberapa pelabur untuk kembali mencari aset selamat, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.6455/6500 berbanding dolar US daripada 4.6425/6455 dicatatkan pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa ringgit kelihatan agak stabil berbanding dolar US, didagang sekitar RM4.642 hingga RM4.648.

“Berita mengenai IHP AS yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk Disember 2023 malam tadi tidak banyak mempengaruhi ringgit dengan Indeks Dolar US (DXY) jatuh 0.05 peratus kepada 102.238 mata,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga minyak melonjak pada Jumaat susulan Amerika Syarikat dan Britain melakukan serangan terhadap Houthi di Yaman untuk bertindak balas serangan oleh kumpulan yang disokong Iran itu di Laut Merah sejak akhir tahun lepas.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding euro kepada 5.0924/0973 daripada 5.0896/0929 ketika ditutup pada Khamis, merosot berbanding pound Britain kepada 5.9239/9297 daripada 5.9141/9179 semalam dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.2007/2040 daripada 3.1896/1919 sebelumnya.

Mata wang tempatan kebanyakannya diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4900/4936 daripada 3.4901/4926 pada penutup Khamis.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding baht Thai kepada 13.2464/2664 daripada 13.2408/2551 semalam, menguncup berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.32 daripada 8.29/8.30 sebelumnya dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 298.6/299.1 daripada 298.5/298.8.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN