fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) selama dua hari yang bermula hari ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7175/7205 berbanding dolar AS daripada 4.7210/7250 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berbanding dolar AS pada mulanya rendah kepada RM4.7250 pada sesi dagangan pagi tetapi wujud minat belian kemudiannya, menyebabkan dolar AS/ringgit kepada RM4.7200.

“Semua tumpuan kini pada mesyuarat FOMC selama dua hari yang bermula malam ini. Walaupun kebanyakan ahli ekonomi menjangka Rizab Persekutuan akan mengekalkan status quo mereka, unjuran makroekonomi untuk suku tahunan akan menjadi tumpuan utama,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0000/0021 daripada 3.0089/0117 pada Isnin, merosot berbanding pound kepada 6.0073/0111 daripada 5.9943/9993 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 5.0708/0741 daripada 5.0722/0765.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4862/4887 daripada 3.4875/4907 pada Isnin, meningkat kepada 289.5/289.9 berbanding rupiah Indonesia daripada 289.9/290.3, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.8364/8491 daripada 12.8211/8372 semalam.

Bagaimanapun, ringgit berbanding peso Filipina kekal pada 8.03/8.04. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI