fb fb fb fb fb

Penyertaan syarikat dalam AKI 2024 meningkat 100 peratus - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Penyertaan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 meningkat hampir 100 peratus menerusi penyertaan sebanyak 153 syarikat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah penyertaan yang diterima bagi AKI 2024 adalah lebih tinggi berbanding 78 syarikat yang menyertai pada 2020.

Ia juga telah melalui beberapa fasa penstrukturan semula termasuk faedah kemenangan yang ditambah baik supaya bersesuaian dengan persekitaran dan perkembangan semasa industri.

"Secara keseluruhannya, hasil eksport kesemua syarikat ini adalah kira-kira RM4 bilion. Walaupun angka ini tidak terlalu besar, kami percaya kesemuanya mempunyai potensi besar untuk meningkatkan eksport masing-masing pada masa akan datang.

"AKI adalah wadah atau platform bagi kerajaan mengiktiraf syarikat yang cemerlang dalam amalan pengurusan, kualiti produk dan perkhidmatan serta sentiasa memberikan nilai tambah kepada pemegang taruh masing-masing," katanya semasa berucap pada AKI 2024 di sini malam ini.

Hadir sama adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul berkata, AKI 2024 mempertandingkan sebanyak 13 kategori antaranya Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan, Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan, Anugerah Kecemerlangan Kategori Terbuka, Anugerah Kecemerlangan Syarikat Paling Berpotensi dan Anugerah Kecemerlangan Industry4wrd.

"Satu anugerah baharu diperkenalkan kali ini iaitu Anugerah Kecemerlangan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dan satu syarikat akan dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri, iaitu pengiktirafan terulung dan paling berprestij yang dianugerahkan kerajaan kepada pihak industri," katanya.

SITI AISHAH MD ISA