fb fb fb fb fb

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS

Foto Fail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS hari ini berikutan harapan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan terus mengambil langkah menghentikan seketika kenaikan kadar faedahnya. 

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7600/7645 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7750/7800 pada Jumaat minggu lepas.

Seorang penganalisis berkata para pelabur bersiap sedia menunggu keputusan Fed dan beberapa mesyuarat bank pusat pada minggu ini termasuk mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM). 

Beliau berkata data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) utama terbaharu AS memberikan sedikit keyakinan bahawa kadar dana Fed akan dikekalkan pada 5.50 peratus.

Data PCE September susut kepada 3.7 peratus seperti yang dijangkakan daripada 3.8 peratus pada Ogos, membayangkan penurunan dalam tekanan inflasi.  

Di dalam negara, para pelabur dijangka memantau rapat mesyuarat MPC terakhir pada tahun ini untuk mengukur prestasi ekonomi dan kadar dasar semalaman yang juga dijangka kekal pada paras semasa pada 3.00 peratus.

AmBank Research berkata ringgit bakal menerima sokongan kemudian nanti apabila Fed dijangka menurunkan kadar faedahnya pada pertengahan 2024.

“Kami mengekalkan unjuran Fed akan menurunkan kadar faedahnya pada pertengahan 2024, dan dengan prospek Fed akan mengurangkan kadar faedah lebih rendah dalam jangka sederhana, ringgit dijangka bakal mendapat sokongan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini. 

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain. 

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1810/1842 daripada paras penutup 3.1827/1862 pada Jumaat minggu lepas, naik berbanding euro kepada 5.0375/0423 daripada 5.0438/0491 dan menokok berbanding pound Britain kepada  5.7734/7789 daripada 5.7945/8005 sebelumnya.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara Asean lain. 

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4841/4877 daripada 3.4867/4906 pada Jumaat minggu lepas dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.38 daripada 8.38/8.39.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 299.5/299.9 daripada 299.5/300.0 dan turun berbanding baht Thai kepada 13.2351/2531 daripada 13.1808/2008.
- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI