KUALA LUMPUR, 31 Mei- Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu hadapan berikutan ketidaktentuan yang berterusan berkaitan perkembangan dasar tarif AS, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Ini susulan ketidaktentuan pasaran yang kembali wujud selepas Mahkamah Rayuan AS membenarkan permohonan White House supaya keputusan mahkamah rendah yang menyekat tarif Presiden Donald Trump daripada dilaksanakan ke atas import ke AS ditangguhkan sementara.
Sebelum itu, Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS memutuskan tarif yang diumumkan oleh Trump adalah tidak sah.
Bagaimanapun, pentadbiran Trump mencabar keputusan tersebut, menyebabkan tarif itu dikenakan semula buat sementara waktu sementara proses rayuan berjalan.
Mohd Afzanizam berkata perhatian turut akan tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang dijadualkan pada 16 dan 17 Jun.
“Indikator utama ekonomi AS, khususnya data pasaran buruh dan angka inflasi, akan diikuti rapat oleh pelabur.
“Data penting yang akan dikeluarkan seperti pembayaran gaji bukan ladang, kadar pengangguran dan indeks pembuatan oleh Institute for Supply Management (ISM) akan menjadi panduan utama pelabur,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata data semasa menunjukkan prospek pertumbuhan menjadi semakin sederhana.
Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata FOMC dijangka mengekalkan pendirian pada kadar faedah semasa memandangkan dasar berkaitan tarif boleh menimbulkan risiko inflasi pada masa hadapan.
Beliau berkata berdasarkan semua perkembangan itu, USD/MYR dijangka kekal dalam julat antara RM4.22 hingga RM4.24 sepanjang minggu hadapan.
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS ketika akhir dagangan minggu ini pada 4.2530/2605 daripada 4.2285/2345 pada Jumaat minggu lepas.
Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.8169/8254 pada Jumaat daripada 4.7985/8053 ketika akhir dagangan minggu lepas.
Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9531/9585 daripada 2.9502/9546, dan sedikit rendah berbanding pound British kepada 5.7284/7385 daripada 5.7072/7153 pada Jumaat minggu lepas.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang tempatan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.64 daripada 7.65/7.66 pada Jumaat minggu lepas, sedikit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 260.4/261.1 daripada 260.7/261.1.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9507/9790 daripada 12.9744/13.0012 minggu lepas namun, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2938/3002 daripada 3.2891/2940.- BERNAMA